Tuesday, June 2, 2009

Kekurangan Unit Amanah/Trust

Tertakluk kepada risiko pasaran
Memandangkan unit amanah melabur dalam sekuriti boleh pasar, sudah tentu ia terdedah kepada pergerakan pasaran. Pempelbagaian dalam pelaburan boleh membantu mengurangkan risiko tetapi tidak dapat menghapuskan terus risiko. Harga unit amanah turun naik, dividen mungkin dibayar ataupun tidak, dan anda mungkin mendapat untung atau rugi apabila menjual unit itu.

Tidak sesuai bagi pelaburan jangka pendek
Unit amanah merupakan jentera pelaburan yang sesuai bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Ini kerana keuntungan daripada pelaburan dalam unit amanah tidak diperoleh segera. Seseorang boleh menjual unit yang dipegang apabila harga unit itu naik. Walau bagaimanapun, kenaikan harga, yang bergantung kepada pergerakan harga pasaran, biasanya lebih perlahan daripada pergerakan pasaran.

Kesan pempelbagaian berlaku secara dua hala iaitu risiko tertebar apabila pasaran mengalami kejatuhan, begitu juga ganjaran apabila pasaran meningkat. Dividen bagi unit amanah diberi secara berkala dan kesan pengkompaunan hanya dirasai dalam masa apabila keadaan ekonomi yang menguntungkan.

Tiada perkhidmatan ikut arahan
Pelabur unit amanah membeli instrumen pelaburan besar-besaran, oleh itu mereka tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana. Mereka tidak boleh memberitahu pengurus apakah saham yang hendak dibeli atau yang mana jangan dibeli, dan bila hendak dijual. Pengurus dana bertindak mengikut penasihatnya sendiri, bukannya pelabur. Pelabur hanya boleh memastikan bahawa objektif dan polisi pelaburan dana selaras dengan objektif mereka. Oleh itu, penting para pelabur membaca prospektus pelaburan secara teliti dan memilih pelaburan secara bijak.

Kos yang Dikaitkan dengan Unit Amanah

Ada beberapa kos dikenakan kepada pelabur unit amanah. Amat penting anda memahami pelbagai yuran yang dikenakan kepada anda oleh pengurus dana kerana ia akan mempengaruhi jumlah pulangan diterima.

Syarikat unit amanah dibenarkan mengenakan tiga jenis yuran:

Bayaran perkhidmatan awal - biasanya bayaran ini dimasukkan dalam harga jualan unit dana;


Yuran pembelian semula - bayaran ini boleh dimasukkan dalam harga pembelian unit dana; dan


Yuran pengurusan - ini ialah yuran syarikat kerana mentadbirkan dana dan bayaran dikenakan terus kepada dana.

Selain daripada itu, terdapat beberapa perbelanjaan lain seperti yuran pemegang amanah dan perbelanjaan brokeraj yang ditanggung oleh dana.

Anda patut meneliti yuran yang dikenakan bagi pelbagai dana pilihan anda. Yang paling penting ialah pengurus dana perlu cekap dalam menjalankan urusan. Tidak guna memilih dana murah jika diuruskan oleh pengurus dana kurang baik, tetapi pengurus dana yang baik mungkin mengenakan yuran yang tinggi.

No comments:

Post a Comment